Monday, March 5, 2012

Membina kecerdasan emosi dan intelek sebelum usia 6 tahun

Mengimbau kembali kehidupan ibu bapa dan nenek moyang kita dahulu kita akan dapati seringkali anak lelaki diajar dengan ilmu mempertahankan diri. Agar selamat dari gangguan binatang buas waktu mengembara atau ganguan manusia lain yang di temui. Sementara anak perempuan diajar ilmu bagaimana mempercantikkan diri, menjaga maruah diri dan melayan suami dengan sebaiknya. Hanya segelintir sahaja masyarakat yang berpeluang mendapat pendidikan dari segi ilmiah dan diajar menulis dan membaca. Ini bermakna pendidikan pada zaman itu bertumpu kepada kecerdasan emosi dan fizikal , dan amat sedikit sekali kepada kecerdasan intelek.


Namun bukan bermakna mereka langsung tidak diasah intelek mereka. Mereka juga belajar mengaji Al Quran, belajar di madrasah dan pondok-pondok, menghafal segala jenis kayu kayan di hutan. Boleh mengenal dan menamakan jenis akar, daun dan buah-buahan yang terdapat disekililing mereka. Mereka belajar secara tidak formal.

Dari segi kehidupan harian kebanyakan kerja dilakukan secara ‘manual’, seperti menumbuk padi, menggiling cili, mengangkat air dari perigi dan sebagainya. Bahkan ada ibu bapa yang memberi tanggung jawab khas buat anak-anak mereka setiap hari, seperti anak lelaki mesti memastikan air di dalam kolah sentiasa penuh, anak perempuan di wajibkan menolong ibu di dapur, memasak mengemas , melipat kain dan seumpamanya.

Ibu adalah suri rumah sepenuh masa, menjaga anak, menyusukan bayi dan memastikan keperluan harian mereka. Bapa pula bertanggung jawab untuk mencari rezki menyara hidup keluarga. Yang demikian itulah antara ciri atau faktor yang membentuk masyarakat melayu yang terkenal dengan adat resam dan kesopanannya.

PERUBAHAN HARI INI

Apabila berlakunya revolusi industri zaman dan cara hidup masyarakat banyak berubah. Kehidupan moden yang serba canggih, bersifat global, seolah-olah dunia tanpa sempadan. Pembangunan intelek dan ilmiah amat di titik beratkan. Oleh itu tumpuan diberikan kepada pendidikan formal iaitu pendididkan peringkat sekolah, seterusnya ke kolej atau universiti. Kejayaan manusia di ukur dengan profesionalismanya, iaitu memiliki kepakaran dalam bidang tertentu. Ibu bapa bekerja , malahan anak tidak disusukan dan di besarkan oleh ibu sendiri. Anak tidak lagi diberi tanggung jawab kerana “dia penat belajar’. Kasih sayang dan perhatian biasanya digantikan dengan hadiah, wang dan kebendan. Ibu bapa sentiasa sibuk dan tertekan, tidak ada masa untuk anak-anak, dan sekiranya ada masa bersama anak-anak mereka secara tidak sedar banyak menghabiskan masa untuk mengkritik tingkah laku dan adab yang tidak sopan, dengan itu mereka seolah hilang peluang untuk bermesra dengan anak-anak.


KECERDASAN EMOSI DAN INTELEK YANG SEIMBANG

Kajian menunjukkan bahawa manusia seolah-olah mempunyai dua otak, otak intelek dan otak emosi, dan kedua-duanya membangun serentak dan hampir 85% dari pembangunan otak bergantung kepada pembangunan emosi, dan 15% sahaja kepada pembangunan intelek. Dengan itu 85% dari hidup manusia dipengaruhi oleh perasaan atau emosinya. Ini bermakna 85% dari cara hidup, amalan, tingkah laku dan kemampuannya untuk belajar dan minat belajar adalah berdasarkan perasaan dan emosinya.

BOLEH DAN MINAT

Kajian menunjukkan bahawa otak membangun kerana otak itu belajar.Otak belajar kerana menerima maklumat, menyimpan maklumat dan bertindak balas kepada maklumat tersebut. Maklumat diterima melalui pancaindera lihat, dengar, sentuh, bau dan rasa , dan respon dilihat melaui gerak geri , pertuturan dan manipulasi. Emosi atau perasaan merupakan ”INPUT atau ‘NALURI’ yang keenam yang amat penting. Perasaan positif dan negatif berlaku serentak dengan pengalaman anak melihat, mendengar, menyentuh, merasa sentuhan, membau, bergerak, bertutur dan bermanipulasi.

Dengan itu apabila kita membangunkan kemampuan anak membaca, kita seharusnya membangunkan serentak MINAT dia membaca. ’boleh’ ialah kecerdasan intelek dan ‘minat’ ialah kecerdasan emosi.

Inilah fokus perbincangan kita , iaitu perkembangan emosi dan intelek yang seimbang, bukan untuk mencari perbezaan atau persamaan cara hidup dan adat resam masyarakat Melayu dahulu dan masa kini.

Para ibu yang mempunyai anak pasti melalui pengalaman-pengalaman dalam membesarkan anak. Ibu sewajarnya memenuhi masa pembesaran anak tersebut secara sedar dan faham, tidak secara kebetulan atau try and error. Kerana ia bukan sekadar pengalaman buat si ibu malahan ia akan memberi kesan dan ingatan kekal kepada anak.

Ini kerana rangkaian neuron dalam otak anak pesat terbina dalam masa 3- 6 tahun pertama usia anak. Bahan ‘input’ yang wujud dalam tempoh tersebut akan menjadi asas rangkaian ini, maka apa saja yang dialami pada segi emosi akan terbina secara kekal bersama pengalaman melihat, mendengar, menyentuh dan seterusnya. Ini juga bermakna minat atau tidak minat, suka atau tidak suka , bersih atau kotor, tepat tau tidak akan bergantung kepada pengalaman emosi diperingkat awal iaitu sebelum umur enam tahun.

Pengalaman enam tahun pertama menjadikan asas pembinaan perwatakan, keperibadian, perangai, malahan cara anak itu berfikir dan membuat keputusan apabila dewasa kelak. Pengalaman ini lebih dikenali sebagai ‘inner sel’ iaitu bahasa senyap di dalam otak kita, yang sentiasa memberi arahan kepada kita secara tidak sedar.

Sebagai contoh, sekiranya seorang anak melihat benda-benda baru yang tidak pernah dilihatnya, anak kecil akan terus mendapatkan benda tersebut dan ingin memegang, merasa, membau dan ingin mendengar’bunyi’ benda tersebut supaya ia mengenalinya. Anak belum tahu sama ada benda itu merbahaya atau tidak, mahal atau murah, tegap atau mudah pecah, apa yang dia tahu ialah benda itu tidak pernah dia lihat, rasa, sentuh atau bau, dia ingin BELAJAR tentang benda itu.

Sekirannya ibu bapa memimpin, merangsang dan menggalakkan dengan cara yang yang positif, penuh ikhlas dan kasih sayang , anak juga akan mengalami EMOSI yang memberangsangkan dan menggembirakan. Perasaan itu akan kekal dalam ingatan anak, bersama ciri-ciri dan nama benda itu yang disebut oleh ibu atau bapa. Ini bermakna minat belajar pada diri anak tersebut terangsang.



Sebaliknya pula sekiranya keinginan anak untuk belajar dihalang dengan “tak boleh”, “hep’… atau sering dipukul dan dikritik akan menghasilkan perasaan atau rasa emosi yang negatif atau rasa tidak tenteram , tidak selamat, tidak disayangi seterusnya merasa kecewa dan menekan jiwanya. Maka perasaan ini akan wujud dalam rangkaian belajar tasi dan akan menyebabkan anak itu tidak minat belajar, tidak suka bertanya, takut mencuba atau meneroka.

Sebenarnya anak tidak perlu diajar semuanya oleh ibu bapa, penjaga dan guru., apa yang perlu wujud ialah persekitaran untuk anak itu minat belajar.



Anak dilahirkan bagai kain putih maka ibu bapanyalah yang akan mencorakkannya. Dan Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya :

” Didiklah anak-anak kamu menghadapi zamannya , zaman yang sama sekali berlainan dari zaman mu ” .

Kerana tugas yang besar dan suci inilah dikatakan syurga di bawah telapak kaki ibu.

p/s- fakta-fakta dalam tulisan ini boleh dirujuk dalam buku ” Kecerdasan Emosi”, tulisan Dato’ Dr.Noor Laily Abu Bakar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...