Wednesday, February 9, 2011

Kehidupan kita dan Sambutan Maulidur Rasul

AA-qhazanah-admin

Semai Cinta Kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam..


بسم الله الرحمن الرحيم

Pada tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun hijrah, berpusu-pusu umat Islam meraikan hari ini dengan pelbagai persediaan dalam mengingati kelahiran penghulu umat Islam dan Nabi yang terakhir yakni Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam..
Semai Cinta Kepada Rasulullah s.a.w
Program-program ceramah dan aktiviti berkenaan kelahiran Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang giat dijalankan antaranya;
Berjalan beramai-ramai sambil berselawat sehingga ke suatu lokasi dengan sepanduk sempena Maulid Rasul. Berselawat beramai-ramai di suatu lokasi samada di kawasan lapangan atau bangunan masjid dan seumpamanya.
Persoalannya, apakah kaedah sambutan seumpama ini adalah suatu kemestian.
Pandangan ulama’ berbeza mengenai perkara ini, ada yang mengatakan ia adalah bidaah yakni suatu perkara yang bukan pegangan atau amalan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para sahabat dan pandangan yang satu lagi berpegang bahawa ia adalah bidaah hasanah, bererti walau ia bukan dari pegangan atau amalan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, namun ia bersifat kebaikan dan mendatangkan kebaikan.
Pandangan Ulama’
Atas suatu pandangan, para ulama’ tidak mahu menjadikan sambutan ini suatu kelaziman kerana ia tidak menjadi pegangan Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri dan juga para sahabat. Mereka juga bersifat berhati-hati kerana khuatir menghampiri persamaan seperti sambutan kelahiran pembesar-pembesar lain yang mengamalkan seumpamanya.
Namun atas suatu pandangan yang lain, ya ia adalah bidaah hasanah namun bersifat hasanah dan ia adalah perlu dalam menyemai perasaan kasih dan sayang kepada Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Tujuannya adalah mengingati permulaan ukiran baru dalam lembaran sejarah Islam yang dimulakan dengan kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sambil menyelami sejarah Islam, pada masa itu juga ia diselangi dengan pembentangan isi Al Quran dan Al Hadith serta ucapan selawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Sebagai umat Islam, mengetahui sejarah kelahiran Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah suatu tuntuan dalam Islam kerana ia membuka minda dan membina pengetahuan serta mengenali dan mendalami Dua Kalimah Syahadah yang kita ucapkan sepanjang masa.

لا إله إلا الله محمد رسول الله

“Tiada lain Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”
Jadi mengapa ada para ulama’ yang tidak bersetuju dengan sambutan ini?
Perlu dijelaskan di sini mengingati sejarah kelahiran Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak menjadi suatu kesalahan akan tetapi kelaziman bentuk sambutan itu perlu dihuraikan dengan lebih berhati-hati. Kelemahan di sini adalah kaedah menyambutnya. Ini perlu menjadi keutamaan kerana ia akan dijadikan suatu amalan yang lebih sinonim dengan ‘pegangan’ yang mana ia cuma dizahirkan sempena hari ini (maulidur rasul) sahaja sedangkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam perlu dijadikan sebagai contoh dan panduan hidup bukan sekadar semasa kelahiran sahaja akan tetapi ia perlu pada setiap hari kehidupan kita sehingga tiba saat menutup mata nanti.
Penulis Rindu Akan Bumi Madinah..
Penulis Rindu Akan Bumi Madinah..
Mengakui “Wahai Kekasih Allah, Ya Rasulullah.. Aku Rindu Dan Cinta Kepadamu..”
Kita berpendapat bahawa generasi baru perlu dididik untuk mencintai Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ya, ia adalah dituntut Islam. Akan tetapi tuntutan yang lebih utama bukanlah sekadar mengingati kelahiran Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam itu pada suatu hari tertentu sahaja malah SETIAP HARI..!
Setiap Ibu dan Bapa berperanan memastikan setiap hari adalah hari mengingati Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai contoh dalam menjalani kehidupan sepanjang hayat dalam keluarga. Anak-anak perlu didedahkan dengan sejarah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam setiap hari. Ini akan diterapkan pula dengan gaya kehidupan dengan menghampiri sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Bagaimana mengakui “Wahai Kekasih Allah, Ya Rasulullah.. Aku Rindu Dan Cinta Kepadamu..”
Ia bermula setiap kali kita membuka mata pada subuh hari sehingga malam hari setiap kali kita hendak tidur.. Mengapa anak-anak lebih mengenali superhero dalam televisyen, komik dan kartun daripada sejarah agamanya sendiri..? Inilah acuan hidup anak-anak hari ini..
Rambut anak-anak kini lebih menghampiri gaya burung belatuk, perkataan-perkataan kasar menjadi kebiasaan dalam pertuturan, bercampur gaul tanpa batasan, tidak memakai tudung adalah standard hidupnya atau ya saya memakai tudung tetapi tidak sepertimana yang ditetapkan Islam dalam erti kata tak mengendahkan tuntutan dalam memelihara aurat. Bila ditanya semasa usia anak masih kecil, ramai yang berkata “Alahai, budak-budak biarlah dulu, bukannya dia orang faham lagi bab-bab aurat nih..” Akan tetapi apabila dah semakin berusia, apabila mereka mula pandai melawan kata, “Tolonglah Ustaz, Macam mana nak buat dengan anak saya ni Ustaz..?”
Ke Arah Menyemarakkan Cinta Kepada Allah Dan Rasul. Mulakan sekarang..
Jangan bertangguh lagi, mulakan sekarang. Jika anda tak mulakan sekarang, maka sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam keluarga anda tidak akan dikenali dan tidak akan dicintai. Akhirnya jiwa barat yang berkarat dalam keluarga. Jangan terkejut suatu hari nanti semasa anda sedang nyawa-nyawa ikan, apabila nyawa anda dah hampir ke penghujungnya hati anda berkata;
“Kalau lah aku hidup dengan pegangan Islam dahulu, hari ini pasti anak-anak aku akan tahu nak pelihara aurat, tahu baca Al Quran, dah tentu boleh bacakan aku surah Yassin.. Tahu solat dan dah tentu boleh solatkan jenazah aku.. Tapi.. di mana anak-anak aku sekarang..?” Ingatlah, semoga kita tidak menyesal di kemudian hari.
Bagaimana anda perlu mulakan..?
Jangan risau, ramai yang tertanya-tanya apa nak buat dahulu.. Antara mereka dah ramai yang dah mula terjah apa yang nak dibuat. Yang mana dulu dan yang mana kemudian? Sabar.. Sebelum anda mulakan apa-apa sekali pun, mulakanlah dengan niat..
Niat : Permulaan Segala Amalan Kita
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs bin Al Khattab Radiallahu ‘Anhu; “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda” :
“Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikuti niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasul-Nya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.” (Hadith Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Amalan hanya diambil kira jika disertai dengan niat. Yang dimaksudkan dengan amalan ialah segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan oleh mukallaf sama ada fardhu atau sunat, sedikit mahupun banyak.
Hijrah pula ialah meninggalkan sesuatu kepada sesuatu yang lain dalam erti syarak, meninggalkan larangan Allah Subhanahu Wata’ala.
Jadi anda perlu mulakan dengan niat untuk berhijrah kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Maksudnya meninggalkan segala larangan dan berpegang kepada perintah Allah Subhanahu Wata’ala juga perindahkanlah niat anda juga untuk menyemai benih sunnah di dalam kehidupan keluarga.
Niat Dan Tindakan.
Niat umpama benih. Tindakan adalah semaian dan penjagaannya. Sama seperti anda menyiram air agar benih membesar menjadi pokok. Menjauhi ulat-ulat dari memakan daunnya. Membersihkan persekitaannya agar kemas dan cantik. Sehingga anda mula memperoleh hasilnya. Jadi anda perlu jayakan niat dengan tindakan. Tindakan demi tindakan dengan niat menuju kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan membuahkan hasilnya. Dan mohonlah doa agar niat anda dan (pastikan ia beserta tindakan), diterima Allah Subhanahu Wata’ala dan memberi hasil yang direhai-Nya serta menyejukkan mata memandang.
Antara Tindakan Yang Pertama
Ramai yang tertanya-tanya selepas niat, nak mula dengan apa lagi..? Seperti yang dijelaskan di atas, yakni ‘hijrah’. Untuk tinggalkan larangan, kita perlu mulakan dengan memohon keampunan Allah Subhanahu Wata’ala. Maka sebaiknya mulakan dengan wudhuk (tanpa membazir air tetapi kemas meliputi anggota wudhuk), tanpa berkata-kata semasa dan selepas berwudhuk, maka dirikanlah solat sunat wudhuk dengan sabar. Juga dirikanlah solat sunat Taubat dengan bacaan yang tenang dan sabar. Panjangkanlah rukuk serta sujud demi kerana mencari keampunan Allah Subhanahu Wata’ala, juga sempurnakanlah tomakninah. Berdoa dalam hati pada setiap sujud dan bukan di sujud yang terakhir sahaja (inilah salah faham ramai di kalangan kita yakni cuma berdoa dalam sujud yang terakhir). Pohon keampunan untuk diri sendiri dan kemudian barulah untuk orang lain. Mohon juga agar dipermudahkan urusan untuk berhijrah kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Begitu juga berdoa dalam hati selepas membaca tasyahud sebelum memberi salam. Dan berdoa selepas memanjat puji-pujian kepada Allah Subhanahu Wata’ala di waktu selesai solat.
Mengambil Langkah Yang Awal.
Bagi mereka yang berkata sudahpun menyemarakkan cinta Islam dalam keluarga anda, ana ucapkan tahniah dan teruskan usaha anda. Bagi anda yang mungkin agak terlewat, ini adalah saranan yang perlu diambil.
Mula berbincang dengan pasangan.
Ada pasangan yang kesuntukan masa walau untuk berbincang. Mohon maaf dengan pasangan atas sebarang kesilapan dan kelemahan sepanjang bergelar suami atau isteri. Mulakan untuk beri tips pada pasangan, yang anda ingin berbincang. Mohon izin suatu masa yang lapang untuk perbincangan itu. Beri tempoh dan masa kepada pasangan. Berilah peringatan kepada pasangan seandainya pasangan lupa, mungkin kerana urusan tugasan. Mungkin dengan membuat nota pada diari, kalendar atau mana-mana ruang yang mudah dilihat pasangan dan mengingati rancangan untuk berbincang. Kini ada ruangan pada nota atau calendar pada telefon bimbit. Ambillah peluang ini, teknologi dah ada.
Jika pasangan anda terus bersetuju untuk berbincang pada masa anda menyuarakannya, ini lebih baik. Bagi yang ambil masa, nantikan masa yang ditetapkan. Apabila tiba masa, bina suasana harmonis semasa perbincangan ini. Pohon maaf pada pasangan sekali lagi andai ada kesilapan dan kelemahan sepanjang menjadi pasangan. Nyatakan bahawa anda ingin berubah bersama-sama ahli keluarga. Dan perubahan ini kurang berjaya sekiranya tiada sokongan emosi dan sokongan tindakan dari pasangan anda. Nyatakan mengenai hijrah kepada Allah Subhanahu Wata’ala untuk kehidupan yang lebih baik dan suasana di akhirat yang lebih baik untuk kita sekeluarga. Andai pasangan belum memberi jawapan, berilah masa dan sepertimana peringatan untuk berbincang tadi, maka bina peringatan sama seperti masa untuk dapatkan jawapan juga. Samada jawapan dari pasangan ya atau tidak, maka hijrah tetap berlaku namun ia akan dimulakan dengan perjalanan yang menyenangkan pasangan dan ahli keluarga anda.
Membuat perjumpaan ahli keluarga.
Mulakan dengan ahli keluarga anda dahulu sebelum sanak saudara yang lain. Bina suasana ceria, mungkin masak bersama ahli pasangan dan keluarga. Pastikan suasana kediaman teratur sepanjang perjumpaan. Memohon maaf kepada ahli keluarga sepanjang bergelar Ibu atau Bapa andai ada salah-silap dan kelemahan dalam tempoh itu yangmana mungkin timbul perasaan tidak selesa dalam keluarga. Merendah diri sepanjang berbicara dengan menyatakan akan hijrah dan mahukan mula bina perubahan dalam ahli keluarga. Nyatakan akan sokongan yang diperlukan serta tindakan yang boleh dibangunkan bersama. Teruskan suasana ceria walau mungkin dari kenyataan maaf tadi akan menimbulkan rasa sedih.
Ibu Dan Bapa Perlu Ambil Pendekatan Yang Berhemah.
Sebagai pembimbing keluarga mungkin mudah atau mungkin sukar membina perubahan ini. Sepertimana peringatan atau memo untuk perbincangan atau perjumpaan keluarga tadi, maka teruskan amalan membuat peringatan ini untuk hijrah anda seterusnya. Buat matlamat kecil untuk menghampiri matlamat besar. Tidak terlalu memberi tekanan dan tidak terlalu longgar kepada ahli keluarga tetapi sentiasa istiqamah (konsisten atau seimbang) bertetapan sepanjang masa walau sedikit. Apabila amalan bertetapan ia akan mula menjadi tabiat.
Sebagai contoh, mendirikan solat bersama-sama. Mengaji Al Quran di rumah. Membaca hadith kepada ahli keluarga setiap kali selesai solat. Atau membaca kisah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam atau kisah nabi yang lain atau para sahabat sebelum waktu tidur keluarga. Jadikan ia rutin harian anda dan keluarga walau di mana keluarga anda berada. Jika Ibu atau Bapa kekurangan ilmu untuk mendidik keluarga maka boleh menjemput tenaga pengajar Al Ustaz atau Al Ustazah ke rumah untuk mendalami ilmu-ilmu Islam ini. Dan ingatlah juga pemakanan yang suci dan bersih adalah rahsia dalam resepi untuk lebih menghampirkan anda kepada suasana ini. Tanggungjawab anda juga adalah menyediakan kepada mereka pemakanan ini. Binalah amalan dan suasana agar keluarga lebih seronok dan ceria untuk makan di rumah. Ini bermaksud, ahli keluarga akan lebih seronok makan bersama daripada makan di luar yang belum tentu lagi tahap kesucian dan kebersihannya. Namun sekali sekala membawa keluarga makan di luar juga dibolehkan untuk mengeratkan lagi hubungan.
Beri hadiah atas kejayaan perubahan kepada pasangan dan ahli keluarga.
Jangan lupa sebut ia adalah penghargaan daripada anda atas perubahan yang cantik ini. Bercuti dan seumpamanya. Jika ada kemampuan tunaikanlah ibadah Umrah (atau haji sebagai memenuhi rukun Islam)..!
Contoh di atas bukan sahaja untuk para suami isteri malah juga disaran untuk anak kepada kedua ibubapanya.. Setiap langkah anda dan keluarga akan diselangi dengan nilai-nilai yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Maka menghayati percintaan kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukan sekadar pada Maulidur Rasul sahaja kerana ia terpahat di dalam jiwa sepanjang zaman.. InsyaAllah ana akan sambung lagi di lain masa.. Mohon maaf atas sebarang kelemahan yang ada.. Semoga sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada penjanaan keluarga bahagia seperti mana yang dituntut Islam..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...